Legenda muzik tanah air, Datuk M. Nasir dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pengangkutan dan penghantaran, Grab, selepas mendakwa namanya digunakan dalam satu kempen promosi tanpa kebenaran.
Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada April lalu, M. Nasir bersama syarikat miliknya, Luncai Emas Sdn Bhd, menuntut ganti rugi melebihi RM5 juta terhadap MyTeksi Sdn Bhd yang mengendalikan jenama Grab di Malaysia.
Teruskan MembacaDifahamkan, isu tersebut timbul apabila satu hantaran promosi minuman kopi yang dimuat naik di media sosial Grab menggunakan frasa “Kopi-kopi kegemaran M. Nasir” bersama slogan promosi lain yang dikatakan memberi gambaran seolah-olah penyanyi tersohor itu mempunyai kaitan dengan produk berkenaan.
Menurut pihak plaintif, penggunaan nama M. Nasir dalam iklan tersebut dibuat tanpa sebarang persetujuan atau kebenaran daripada beliau. Malah, tindakan itu didakwa boleh mengelirukan orang ramai serta memberi kesan terhadap reputasi dan imej yang dibina selama ini.
Dalam tuntutan yang difailkan, M. Nasir dan Luncai Emas menuntut ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta dan ganti rugi teruk RM2 juta, selain ganti rugi am, faedah serta kos mahkamah.
Bukan itu sahaja, mereka turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Grab daripada terus menggunakan nama M. Nasir untuk sebarang tujuan promosi pada masa hadapan. Selain itu, pihak defendan juga diminta mengemukakan penyata keuntungan yang diperoleh hasil daripada kempen yang menggunakan nama penyanyi berkenaan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Grab berhubung tuntutan saman tersebut.
















