Penyanyi popular, Aisha Retno mengakui dirinya berasa agak tertekan apabila diberikan tanggungjawab sebagai salah seorang juri program realiti nyanyian Big Stage X Rocketfuel.
Menurut Aisha, keputusan untuk menerima tawaran tersebut bukan dibuat secara terburu-buru kerana dia perlu mempertimbangkan beberapa perkara termasuk jadual kerjaya yang semakin padat, faktor kesihatan serta tanggungjawab besar yang perlu digalas sebagai juri.
Teruskan Membaca“Sejujurnya memang pressure. Saya ambil masa untuk fikir sebab tahun ini jadual kerja agak padat, ditambah pula dengan beberapa faktor kesihatan dan sudah tentu tanggungjawab sebagai seorang juri,” katanya.
Namun begitu, pelantun lagu Tidak Adil itu melihat peluang tersebut sebagai satu pengalaman baharu yang dapat membantu dirinya berkembang dalam industri hiburan.
Menurut Aisha, bukan sahaja peserta boleh belajar daripada juri, malah para juri juga boleh menimba ilmu dan perspektif baharu daripada bakat-bakat yang bertanding.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 25 tahun itu mengakui dia sudah bersedia sekiranya ada pihak yang mempertikaikan kredibilitinya untuk berada di kerusi juri pada usia yang masih muda.
Baginya, segala kritikan yang diterima akan dijadikan sebagai panduan untuk terus memperbaiki diri dan menjalankan tugas dengan lebih baik.
“Saya terima dengan hati terbuka. Kritikan itu perkara biasa dan saya akan cuba jadikan ia sesuatu yang positif sepanjang menjadi juri,” katanya.
Aisha turut menegaskan bahawa kehadirannya sebagai juri bukan untuk mencari perhatian atau populariti, sebaliknya mahu membantu melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam industri muzik tempatan.
“Saya bukan nak dilihat, saya nak membantu. Saya mahu berkongsi pengalaman sebagai seorang alumni dan membantu peserta berkembang,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pendekatan penjurian, Aisha berkata dia tidak mahu menjadi juri yang terlalu garang atau terlalu lembut.
Sebaliknya, dia akan menilai setiap persembahan secara profesional, memberi pujian kepada yang layak dan pada masa sama membantu peserta memperbaiki kelemahan mereka.
“Saya hanya akan jadi diri sendiri. Yang bagus saya akan puji, yang kurang saya akan cuba bantu dan beri motivasi supaya mereka boleh jadi lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Aisha diumumkan sebagai antara panel juri Big Stage X Rocketfuel bersama Hael Husaini dan Akim Ahmad.
Program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad itu bakal menyaksikan 10 peserta bersaing sepanjang lapan minggu bagi merebut kontrak pembangunan artis Rocketfuel bernilai sehingga RM200,000.
Big Stage X Rocketfuel akan mula bersiaran pada 28 Jun ini, jam 9 malam menerusi Astro Ria serta boleh distrim melalui Astro GO dan Sooka.
















