31 projek perumahan terbengkalai dipulihkan pada Mei

KEMENTERIAN  Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan
sebanyak 31 projek perumahan swasta sakit melibatkan 3,299 unit rumah
dalam tempoh 1 hingga 31 Mei 2023, kata Timbalan Menteri Pembangunan
Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

KPKT terus usaha selesai isu perumahan terbengkalai 
Akmal Nasir
berkata, daripada jumlah itu, 28 projek perumahan telah menerima Sijil
Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) manakala tiga lagi kembali lancar
mengikut jadual pembinaan projek dan ianya dipulihkan menerusi Pasukan
Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai yang
dipengerusikannya.
Beliau berkata, sejak Januari hingga Mei lalu
pasukan itu berjaya memulihkan 149 projek perumahan swasta melibatkan
17,436 unit rumah bernilai RM15.2 bilion.
“Jumlah itu adalah 22.3
peratus daripada RM68.1 bilion (RM50.5 bilion projek perumahan swasta
sakit dan RM17.6 bilion projek perumahan swasta lewat).
“Secara
keseluruhan, Pasukan Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai
telah mengenal pasti sebanyak 124 projek lewat, 471 projek sakit serta
112 projek terbengkalai,” katanya.
Untuk rekod, Jawatankuasa
Bertindak Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai ditubuhkan pada
30 Dis 2022, yang bertujuan mencari pendekatan yang lebih berfokus dan
strategik serta memberi impak positif dalam menyelesaikan isu projek
sakit dan terbengkalai di negara ini.
“Jawatankuasa ini sentiasa
bersedia menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan urusan dengan
kementerian (KPKT) termasuk agensi berkaitan bagi tujuan mempercepat
proses penyiapan dan perolehan CCC,” katanya.
Akmal Nasir
berkata, pasukan khas itu menunjukkan peningkatan pencapaian dari segi
menambahbaik pelaporan status projek dengan mengambil kira nilai
pembangunan kasar iaitu Nilai Pembangunan Kasar (GDV).
Menurutnya,
mengambil kira GDV bagi projek lewat, sakit dan terbengkalai, pasukan
khas itu akan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam
Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam
Malaysia (AIBIM) untuk perbincangan yang lebih berfokus.
Mengenai
kategori projek lewat pula, Akmal Nasir berkata setakat 31 Mei lepas,
ia telah berkurangan daripada 141 projek kepada 124 projek.
-AA

Lagi Topik Menarik

Apa Yang Viral?