Terkini

Permaisuri Agong, Wanita Pertama Filipina lawat pusat pelawat Royal Selangor

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Pusat Pelawat Royal Selangor bersama-sama Wanita Pertama Filipina, Louise Araneta-Marcos, semalam.

Tunku Azizah berangkat tiba di pusat berkenaan pada kira-kira 3.30 petang dengan isteri Presiden Filipina itu bagi menghayati sejarah pembuatan piuter (timah) di Malaysia.

Ketika lawatan, Seri Paduka dan Araneta-Marcos melihat produk piuter dan perak yang dihasilkan oleh pekerja Royal Selangor serta menyaksikan bagaimana produk-produk berkenaan dihasilkan oleh mereka.

Royal Selangor turut dihiasi reruai jualan kain tenunan Pahang oleh banduan dari Penjara Penor, Pahang dan reruai jualan tenunan Pahang daripada Che Minah Sayang.

Turut dipamerkan di Royal Selangor, koleksi batik Sentuhan Permaisuri: Eksplorasi dan Eksperimentasi Batik Inderapura yang dihasilkan sendiri oleh Tunku Azizah.

Royal Selangor yang mempunyai kira-kira 500 pekerja kini merupakan tarikan besar pelancong luar untuk melihat kraf piuter buatan Malaysia yang menawarkan lebih 1,000 kraf pinggan, mangkuk dan cenderahati serta aksesori peribadi.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dan isterinya tiba di Kuala Lumpur pada petang Selasa untuk mengadakan lawatan negara selama tiga hari.

Pelbagai

Scroll to Top