Terkini

DBKL tahan 8 individu jaga dan kutip wang parkir tanpa kebenaran

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menahan lapan orang individu warga tempatan atas kesalahan menjaga dan mengutip wang parkir tanpa kebenaran di kawasan awam pada Ahad.

Tindakan tersebut dilaksanakan melalui Tindakan Khas Penjaga Parkir Tanpa Kebenaran (Ops Jaga) Siri 10/2024 sekitar Jalan Kamunting, Jalan Sultan Ismail, Jalan Kemuja, Jalan Sultan, Jalan Beremi dan Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur bermula pukul 1.30 tengah hari dan berakhir pukul 11.45 malam.

“DBKL melakukan pemantauan, risikan dan tindakan penguatkuasaan di lokasi tumpuan (hotspot) berkaitan.

“Antaranya, kawasan melibatkan bahu jalan, siar kaki, kawasan lapang atau mana-mana petak letak kereta awam sedia ada,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh DBKL.

Antara lapan individu yang ditahan terdiri daripada tujuh orang lelaki serta seorang wanita dan mereka dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi.

Tiga daripada mereka telah dikenakan hukuman penjara selama 30 hari dan tiga yang lain dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 hingga RM1,500.

Tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan melalui peruntukan undang-undang dibawah Seksyen 50(3), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan sekitar Kuala Lumpur.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top