Terkini

Usahawan boleh mohon tangguh bayar pinjaman jika terkesan dengan banjir

Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara yang terjejas akibat bencana boleh memohon untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata penangguhan pinjaman di bawah kementeriannya itu seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga  (TEKUN) Nasional,  Amanah Ikhtiar Malaysia  dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia adalah langkah penting bagi membantu usahawan terbabit memulihkan kembali perniagaan mereka yang terjejas.

“Kita mempunyai dasar  untuk membenarkan penangguhan pembayaran hingga tiga bulan sekiranya premis perniagaan atau tempat operasi mereka terjejas dengan banjir.

“Saya minta kepada agensi di bawah kementerian ini sekiranya ada menerima permohonan daripada usahawan PMKS agar meneliti dan mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Menara Bank Rakyat di Coronation Square di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di negara ini yang bermula pada 11 Nov lepas akan berterusan hingga Mac tahun depan.

Di bawah fasa awal MTL, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

BERNAMA semalam melaporkan, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 4,530 orang daripada 1,462 keluarga setakat 8 pagi berbanding 4,398 orang daripada 1,405 keluarga malam semalam dan kesemua mangsa kini berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas dan Tanah Merah.

Terdahulu, Ewon mendengar taklimat mengenai pembinaan Menara Bank Rakyat, yang membabitkan pembangunan bersepadu di Coronation Square, yang bernilai RM6 bilion.

Menara Bank Rakyat setinggi 35 tingkat itu merupakan menara pertama daripada lapan menara yang sudah siap dibina sepenuhnya tahun ini dan dijangka mula beropersi Februari depan.

Coronation Square seluas 2.3 hektar adalah antara Zon Pembangunan Projek Ibrahim International Business District (IIBD). – BERNAMA

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top