Kerajaan merancakkan usaha bagi memperkukuhkan kebajikan serta taraf hidup golongan M40 menerusi Belanjawan 2024 yang dijadualkan dibentang di Parlimen, bulan depan.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim walau bagaimanapun berkata, usaha memperkasakan golongan itu adalah kesinambungan Belanjawan 2023 lalu yang memfokuskan kepada ekonomi rakyat.
Teruskan Membaca“Antara perkara utama yang kita mahu tangani dalam masa terdekat adalah bagaimana untuk memperkukuhkan ekonomi golongan M40 ini.
“Golongan ini yang paling banyak terjejas semasa pandemik lalu dan salah satu fokus utama adalah memperkasakan mereka.
“Oleh itu, fokus utama Belanjawan 2024 dalam menangani beban kos sara hidup bukan hanya setakat menurunkan harga barangan semata-mata, tetapi bagaimana untuk menaikkan gaji pekerja serta meningkatkan pendapatan perniagaan di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pemerkasaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut diperhebat bagi membantu menjana ekonomi negara.
“Dalam siri jelajah sebelum ini, saya terima beberapa aduan yang mana usahawan tempatan dilihat sebagai kelas kedua susulan kerajaan memfokuskan pelaburan langsung asing (FDI) yang membuatkan mereka rasa terabai.
“Justeru, kita menetapkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) sebagai antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara.
“Dalam mengejar FDI yang baik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, pada masa sama kita tidak boleh mengabaikan pelaburan usahawan setempat,” katanya.