Seorang buruh warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penjual buah warga emas di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields bulan lepas.
Mengikut kertas pertuduhan, Shofi Husson Rahman, 27, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Ah Kau@Yow Chow Chong yang berusia 80 tahun.
Teruskan MembacaPertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Shofi Husson hanya mengangguk memahami pertuduhan terhadapnya selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam
Mahkamah menetapkan 24 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Sebelum ini KualaLumpurViral melaporkan seorang peniaga buah warga tempatan berusia 80 tahun maut akibat ditikam pada beberapa bahagian badan serta muka dan berikutan itu, suspek telah ditahan polis di lokasi kejadian.