SERAMAI 28 peninju hebat dari enam negara bakal berentap merebut 12 tali pinggang kejuaraan di Grand Final Kuda Merah International World Muaythai Championship 2023 Clash of Champion.
Menurut Presiden Muaythai Kuda Merah, Rosli Yaacob, penganjuran kali ke-72 ini mendapat sokongan Tourism Malaysia, sekali gus menjadi sebuah acara hebat mengisi kalendar aktiviti pelancongan tahun 2023.
Teruskan Membaca“Ia merupakan acara berprestij anjuran Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur.
“Kami menyasarkan lebih 5,000 penonton dari dalam dan luar negara bakal memenuhi stadium pada dua malam perlawanan. Apatah lagi selepas tertunda akibat pandemik COVID-19, peminat seni pertahanan diri muaythai pastinya menantikan acara ini,” katanya dalam Sidang Media Grand Final Kuda Merah International World Muaythai Championship 2023 Clash of Champion yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
Bakal diadakan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pukul 8 malam pada 25 dan 26 November ini, Rosli berkata pemilihan lokasi dibuat berdasarkan fasiliti yang disediakan bagi kejohanan-kejohanan besar.
“Kita ada mengadakan kejohanan di negeri-negeri pantai timur, Kedah dan sebagainya. Stadium Titiwangsa dipilih kerana mempunyai kemudahan yang besar dan selesa buat penonton serta peninju,” jelasnya Malaysia kini berada di kedudukan kedua selepas Thailand bagi sukan muaythai.
Terdahulu, seramai 28 peninju terdiri daripada 14 regu akan bertarung untuk merebut hadiah berupa 10 tali pinggang kejuaraan, dua tali pinggang juara pusingan, dua piala dan wang tunai di mana pemenang atau juara tali pinggang akan kembali dicabar dalam Clash of Champion pada November 2024.
Antara negara yang terlibat adalah Malaysia, Thailand, Indonesia, Afghanistan, Maghribi, Itali dan Iran. – WILAYAHKU

Baca juga: