Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah membelanjakan RM733,262,510 melalui wang zakat dikutip di Wilayah Persekutuan, yang telah memanfaatkan kira-kira 170,000 golongan asnaf fakir dan miskin setakat Oktober lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ), mengguna pakai kaedah had kifayah dalam penentuan jenis dan jumlah bantuan yang disalurkan kepada semua asnaf yang layak.
Teruskan Membaca“Melalui pengenalpastian golongan sasar yang jelas serta kaedah had kifayah ini, agihan yang teratur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Sebarang isu yang timbul berkaitan kutipan dan agihan, akan sentiasa diteliti dan dibincangkan oleh semua MAIN/AMZ melalui dua mekanisme utama.
“Dua mekaninsme itu iaitu menerusi platform Majlis Pengurusan Zakat Negeri-Negeri (MPZN) yang diurussetiakan sekretariat yang dilantik oleh MAIN/AMZ sendiri dan Mesyuarat Penyelarasan Program Zakat Bersama MAIN/AMZ yang diurussetia Jabatan Wakat, Zakat dan Haji (JAWHAR),” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu usaha dilakukan kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan yang memerlukan khususnya asnaf fakir dan miskin dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kenaikan harga barangan.
Dalam pada itu, Mohd Naim berkata, di Wilayah Persekutuan, MAIWP menawarkan 38 skim bantuan yang dipecahkan kepada Kluster Kebajikan, Kluster Perubatan, Kluster Pendidikan, Kluster Pelindungan/Perumahan, Kluster Ekonomi serta Kluster Dakwah dan Pembangunan Ummah.
Katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang membangunkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), yang akan membolehkan pihak MAIN atau AMZ membuat semakan data secara masa sebenar atau hampir masa sebenar, bagi membantu mempercepatkan proses pengagihan bantuan zakat dengan teratur.
“JAWHAR bersama-sama MAIN/AMZ, amat menyambut baik usaha ini dan sedang menyediakan set data yang bersesuaian sebagaimana keperluan pihak DOSM,” katanya. -KOSMO! ONLINE.