Terkini

Tiada pemansuhan pembekuan pengeluaran lesen arak – DBKL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memansuhkan pembekuan pengeluaran lesen baharu bagi penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina. 

Menurut DBKL dalam satu kenyataan, Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang baharu dilantik sudah menjalankan fungsi sedia ada dan hanya mempertimbangkan permohonan pembaharuan lesen. 

“Pernyataan bahawa Lembaga Pelesenan Eksais yang bersidang pada 23 November lalu sudah menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina adalah tidak benar.

“Pertimbangan terhadap penjualan minuman keras di ketiga-tiga premis berkenaan masih tertakluk kepada garis panduan yang sudah ditetapkan.

“Lembaga yang bersidang pada tarikh berkenaan hanya meluluskan sejumlah 1,519 permohonan pembaharuan lesen borong, rumah awam dan runcit. Tiada lesen runcit baharu yang diluluskan,” katanya. 

DBKL adalah urus setia kepada Lembaga Pelesenan Eksais WPKL dalam memproses permohonan Lesen Minuman Keras di Kuala Lumpur selaras dengan perwakilan kuasa di bawah Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Eksais (Lembaga Pelesen) 1977.

Terdahulu tular di media sosial menyatakan ahli jawatankuasa yang baru dilantik Lembaga Pelesenan Eksais di bawah DBKL dilaporkan menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina. 

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top