Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa akan memberikan fokus membasmi kemiskinan bandar sebagai satu usaha berterusan disamping turut memberikan perhatian terhadap pembangunan Labuan.
Beliau berkata pihaknya akan meneruskan visi dan misi yang telah dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membangunkan Wilayah Persekutuan
Teruskan Membaca“Saya harus membawa misi dan visi yang dibawa oleh Perdana Menteri dan tentunya hal-hal dengan kemiskinan bandar, miskin tegar walaupun jumlah yang saya lihat tidak berapa ramai dan itu saya ambil sebagai perkara yang penting sebelum kita bergerak lebih laju.
“Tentunya saya akan memberi fokus terhadap Labuan yang perlu dibangunkan dari sudut ekonomi sebagai hab pelancongan yang perlu diberikan keutamaan susulan lawatan Perdana Menteri ke pulau tersebut baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Clock In di Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Hadir sama, Ketua Pengarah JWP, Datuk Noridah Abdul Rahim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk TPr Fadlun Mak Ujud; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) Dr Amir Raslan Abu Bakar.
Ujar Zaliha, selain daripada isu berkenaan, beliau turut akan memberikan penekanan terhadap pembangunan Kampung Baru.
Ahli Parlimen Sekijang itu turut akan memberikan perhatian terhadap isu melibatkan peniaga dan penjaja kecil di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Zaliha yang juga bekas Menteri Kesihatan bertukar portfolio susulan rombakan kabinet seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Selasa. –WILAYAHKU
Baca juga: