HANYA 80 peratus kisah pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang didakwa berdepan gangguan sihir dan mistik dimuatkan dalam filem ‘Zim Zim Ala Kazim’ yang mula menjengah pawagam di seluruh negara, pada Khamis.
Penerbit dan pengarah, Mawi berkata, beberapa karakter dan jalan cerita fiksyen direka untuk menambah ‘rasa’ dalam naskhah berkenaan supaya lebih menarik dan mampu memberi kepuasan kepada penonton.
Teruskan MembacaMawi yang turut membintangi filem Zim Zim Ala Kazim menyuntik beberapa elemen komedi agar naskhah itu lebih ringan, namun pengajaran yang mahu disampaikan mengenai perbuatan syirik dan amalan sihir, boleh diambil.
“Kira-kira 70 hingga 80 peratus adalah kisah benar yang dipaparkan dalam filem ini, selebihnya saya tambah untuk pastikan jalan cerita lebih menarik.
“Mungkin ada yang suka atau sebaliknya.Tetapi sebagai pembikin filem, saya sedia terima kritikan dan sudah biasa melaluinya.
“Untuk hasilkan filem ini bukanlah mudah. Apatah lagi, saya bertindak sebagai penerbit, pelakon dan pengarah,” katanya ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem Zim Zim Ala Kazim di GSC The Starling Mall, Damansara.
Antara kejadian sebenar pernah dialami Ustaz Kazim adalah perbuatan khianat individu yang didakwa menanam bangkai monyet di hadapan rumahnya sehingga dia dan ahli keluarga diganggu oleh makhluk halus, dipaparkan dalam filem itu.
Mawi berkata, persamaan kisah dirinya dan Ustaz Kazim mendorong kepada penerbitan naskhah yang menggabungkan genre seram dan komedi itu.
“Saya selalu dengar ceramah Ustaz Kazim. Salah satu perkara yang beliau lalui adalah muntah darah dan saya pernah berhadapan dengan muntah darah. Jadi, ada persamaan yang membuatkan saya mahu jumpa beliau untuk bercerita mengenai perkara itu.
Selain Ustaz Kazim dan Mawi, filem terbitan Mawi World Entertainment Sdn Bhd itu menampilkan Bell Ngasri, Anas Tahir, Shanthesh Kumar, Elvina Chua, Man Raja Lawak, Maimunah Ahmad dan ramai lagi.
Zim Zim Ala Kazim mengisahkan sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal. Mereka kemudian menemukan sesuatu yang pelik dan mendapati Ustaz Kazim dalam bahaya, lantas mengambil keputusan menyelamatkannya.
Baca juga: