SARA Milliken, seorang model bersaiz besar dan pejuang kesihatan mental, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Miss Alabama 2024.
Milliken menerima gelaran demikian dalam pertandingan National American Miss (NAM) Alabama 2024 yang berlangsung di Renaissance Marriott, Montgomery, pada 27 Mei.
Teruskan MembacaKemenangan tersebut bukan sekadar meraih mahkota, tetapi simbol keberanian Sara melawan standard kecantikan konvensional.
“Ini adalah impian yang saya usahakan selama lapan tahun,” katanya, yang mula menyertai pertandingan ketika berumur 15 tahun.
Namun, selepas mengalami pengalaman pahit dibuli ketika cuba bertanding semula pada usia 16 tahun, dia memutuskan untuk berehat selama tujuh tahun sebelum kembali tahun ini dengan tekad baharu.
“Saya kembali ke pentas NAM untuk buktikan kepada diri sendiri bahawa saya tidak berputus asa dan saya lebih daripada kata-kata buruk yang dilemparkan kepada saya,” katanya.
Menurut Milliken, sepanjang pertandingannya kali ini, dia hadir dengan penuh keyakinan, menyerlahkan dirinya yang sebenar dan tidak membiarkan kesempurnaan menjadi penghalang.
Meskipun menerima kecaman daripada segelintir pengguna media sosial selepas dinobatkan sebagai pemenang, Milliken tidak membiarkan kata-kata negatif tersebut mematahkan semangatnya.
“Saya tahu akan ada kebencian. Walaupun ia tidak betul, saya sudah bersedia secara mental selama lapan tahun untuk menghadapi ini,” katanya.
Walaupun dicerca kerana penampilannya, dia enggan berundur dan terus menyerlahkan dirinya di khalayak ramai.
“Saya boleh sembunyikan diri, berhenti memuat naik di media sosial, atau tidak membuat sebarang penampilan. Tetapi saya memilih untuk tidak menyerah,” tegasnya.
Dengan kemenangan tersebut, Milliken mahu membuktikan bahawa kecantikan tidak terhad kepada saiz atau rupa semata-mata.
“Kita lebih daripada tubuh badan kita sahaja dan lebih penting lagi, kita lebih daripada kata-kata jahat orang lain tentang tubuh kita.
“Saya pernah berputus asas terhadap impian ini kerana kata-kata orang, tetapi tidak lagi,” ujarnya.
Milliken kini fokus untuk mempersiapkan diri ke pertandingan peringkat kebangsaan dan menggunakan platformnya untuk menyebarkan mesej positif, membina komuniti yang lebih inklusif dan memberi inspirasi kepada orang lain agar tidak tunduk kepada tekanan standard kecantikan tradisional.
Baca juga: