PELAKON remaja, Puteri Balqis baru-baru ini membuat perkongsian yang menyentuh hati di akaun Instagram miliknya, yang ditujukan khas kepada Nur Fatima Aisya, anak kepada selebriti terkenal, Nur Fazura dan Fattah Amin.
Dalam perkongsian berbentuk puisi itu, Balqis menzahirkan harapan dan dorongan untuk anak kecil berusia empat tahun tersebut agar cekal dan tabah mengharungi perceraian kedua ibu bapa.
Teruskan MembacaBalqis turut menyampaikan pesan bahawa kasih sayang dan tanggungjawab ibu bapa terhadap Fatima tidak akan berkurang meskipun mereka sudah tidak lagi bersama sebagai suami isteri.
“Sayang Fatima. Tinggi pengorbanan ayah dan ibumu, dik. Biar ayahmu terpaksa menghilang seketika. Namun rindu dan tanggungjawabnya pada seorang anak, tidak sekali-kali diabai walau keadaan memaksa.
“Biar ibumu dihina, kasihnya padamu tiada tara. Keduanya punya cinta yang tinggi buatmu, dik. Masyarakat dan artis cuma memekik, memerli sini sana ketika masih bernyawa. Mengambil tahu untuk beberapa hari cuma,” ungkapnya.
Dalam puisi tersebut, Balqis mengingatkan Fatima bahawa masyarakat sering memberi pandangan berdasarkan apa yang dilihat tanpa memahami realiti sebenar.
Mengimbau pengalaman peribadinya, Balqis meluahkan rasa kesal kerana tidak mampu mempertahankan ibunya ketika menerima hinaan masyarakat.
“Mereka mengharapkan aku membenci ibuku sehingga ada yang menulis, dia bakal bunuh ibunya sendiri. Sedangkan apabila tiba waktunya, aku lebih membenci mereka. Tidak pernah sekalipun dibukanya derita sebenar.
“Selama lebih 10 tahun. Tetapi sekali dibuka, maka bertempiklah mereka mengatakan ini aib. Aku saksi kecil, yang berdiam menyaksikan derita ibuku sekian lama.
“Maka kini, aku tidak peduli lagi kata-kata mereka. Malah, kasih aku pada ibuku semakin kuat. Yang ada dalam diri aku hanya penyesalan, kerana tidak mampu mempertahankannya ketika ibuku menerima hinaan masyarakat dan orang-orang industri,” kesalnya.
Walaupun turut berhadapan dengan ujian serupa, Balqis menyifatkan nasib Fatima lebih baik daripadanya kerana kanak-kanak itu masih mempunyai kedua orang tua yang menyayanginya.
“Masa akan tiba untuk kau lebih bijak berfikir dalam membuat keputusan. Dengarlah luahan mereka, jadilah pengubat derita mereka. Aku pasti tiada ego di hati mereka untuk memohon maaf padamu. Kerna kau permata yang dikasihi.
“Dijaga dengan cukup sempurna. Terlalu jauh jika ingin dibandingkan derita kehidupan ‘broken child’ yang sebenar. Anak-anak sepertimu masih beruntung berbanding anak-anak seperti kami.
“Maka bergembiralah wahai anak kecil. Jangan kau bersedih dengan pandangan manusia lain. Kau berhak bahagia. Kita menderita kerana cinta. Maka belajarlah dari pengalaman insan yang benar-benar mengasihimu. Bukan dari musuh dalam selimut yang cuma ada di waktu kau punya segala-gala,” pintanya.
Mengakhiri puisi yang ditujukan khas untuk Fatima itu, Balqis juga mengucapkan terima kasih kepada Fattah dan Fazura kerana telah membesarkan anak tunggal mereka dengan baik.
Perkongsian menyentuh hati Balqis itu mengundang sebak dari orang ramai dan mendapat perhatian ibu Fatima, Nur Fazura Sharifuddin.
“MasyaAllah, TabarakAllah. Wise words from such a young and brilliant lady. Terima kasih adikku Balqis mendoakan yang baik-baik buat kami khususnya anakanda Fatima.
“Semoga Balqis terus kuat dan berjaya di dunia akhirat.. Aminnn Allahuma Aminnn,” komen Fazura.
Baca juga: