KESELAMATAN di jalan raya bermula dengan sikap pemandu yang berhemah dan bertanggungjawab. Amalan pemanduan berhemah bukan sahaja membantu mengurangkan risiko kemalangan, tetapi juga mewujudkan suasana perjalanan yang lebih harmoni dalam kalangan pengguna jalan raya.
Dengan kesedaran tinggi dan pematuhan peraturan, setiap pemandu berperanan memastikan keselamatan diri dan orang lain terpelihara.
Teruskan MembacaNamun, masih ramai yang alpa dengan pentingnya mempraktikkan pemanduan selamat, terutama di jalan-jalan sesak dan kawasan berisiko tinggi.
Tindakan seperti memandu secara agresif, melanggar lampu isyarat dan tidak menggunakan lampu isyarat sebelum membelok menjadi punca utama kemalangan.
Perkara yang sama terjadi dalam video yang tular baru-baru ini, memaparkan seorang pemandu Proton Saga Aeroback berwarna biru yang menjadi pembuli jalanan (road bully) selepas tidak berpuas hati dengan pemandu lain.
Menerusi rakaman papan pemuka (dashcam) berdurasi seminit 25 saat, kereta berkenaan dilihat tidak berpuas hati dengan pemandu pemilik dashcam berkenaan hingga bertindak untuk menjadi pembuli jalanan.
Insiden tersebut bermula apabila kereta Proton Saga tersebut memasuki simpang tanpa memberi laluan dan tidak menggunakan lampu isyarat untuk memasuki laluan utama.
Kereta yang merakam insiden tersebut melalui dashcam turut menjadi mangsa buli jalanan Proton Saga berkenaan apabila pemandu tersebut memilih untuk memotong secara tiba-tiba dan brek secara mengejut di tengah jalan.
Selepas sengaja berhenti secara tiba-tiba, Proton Saga tersebut meneruskan perjalanan dan memilih untuk brek mengejut secara beberapa kali untuk ‘membuli’ pemilik dashcam berkenaan.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai video tersebut dan rata-rata warganet dalam ruangan komen menyeru agar pihak bertanggungjawab segera mengesan pemandu Proton Saga berkenaan untuk dikenakan tindakan undang-undang.
“@PDRMsia tolong ambil tindakan untuk pemandu yang macam ni, bagi dia rasa,” komen MekMomek72461.
“Tolong report polis and tangkap si bod** ni,” kata Imimrann_.
“Report polis, pasti dia akan dipanggil,” ujar Malacire.
“Report polis terus. Ada dashcam. Dia beberapa kali halang lalulintas, itu kesalahan. Road bully pun kesalahan lain, keluar simpang semberono kesalahan lagi,” komen CikZieJ.
Jelaslah, insiden sebegini menjadi peringatan betapa pentingnya pemanduan berhemah dan kepatuhan kepada peraturan jalan raya demi menjaga keselamatan semua pengguna.
Sikap tidak bertanggungjawab seperti pembuli jalanan hanya menambah risiko kemalangan dan ketegangan di jalan raya.
Diharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kes sebegini agar ia tidak berulang, sekaligus mendidik masyarakat bahawa keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. — KL Viral
Baca juga: