MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, seramai 325 ketua isi rumah miskin tegar telah dikenal pasti yang mana 105 daripadanya disenarai pendek untuk mengikuti program berkenaan.
Menurutnya, Program Usaha Jaya Insan (PUJI) merupakan jalan keluar buat keluarga miskin tegar di Wilayah Persekutuan.
Teruskan MembacaBeliau berkata, peserta akan menerima latihan keusahawanan daripada Yayasan Sukarelawan Siswa yang dilantik untuk menguruskan program tersebut dari proses profiling hingga bimbingan nasihat serta motivasi.

“Ini adalah antara fokus PUJI, iaitu untuk menyediakan ‘exit strategy’ kepada warga Wilayah Persekutuan yang berada dalam miskin tegar.
“Saya percaya bahawa kita tidak boleh lagi selama-lamanya bergantung kepada inisiatif dan bantuan Kerajaan semata-mata, tetapi kita perlu mengambil pendekatan lebih proaktif untuk membantu mengeluarkan diri dari belenggu kemiskinan ini melalui kaedah pendayaupayaan mengikut kapasiti yang kita ada,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Pada Ahad lalu beliau telah hadir merasmikan PUJI peringkat Wilayah Persekutuan berlangsung di Hotel Tamu & Suites, Kuala Lumpur.
Dr Zaliha berkata, seramai 30 peserta yang berpotensi sebagai pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berjaya dilahirkan di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Saya difahamkan ada daripada usahawan PUJI di Labuan ini telah pun berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM 9,000 sebulan. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Alhamdulillah,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya buat semua pihak yang terlibat dan diharapkan agar semua dapat keluar dari belenggu kemiskinan tegar dan seterusnya dapat kembali memberi manfaat kepada komuniti.
Baca juga: