PENYANYI rap dan komposer yang dikenali dengan lagu hit genre hip hop, Altimet, memberi pandangan tentang karya seni perlu dibuat dengan tulus.
Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata, dalam memperdagangkan seni perlu mempunyai perasaan tulus dan niat yang baik.
Teruskan Membaca“Dalam seni, kita perlu pasang niat, apa niat kita. Sebagai contoh, niat untuk mengekspresi diri itu boleh tapi nak mengekspresi diri kita mungkin bukan semua orang yang akan senang atau faham.
“Ini kerana kita hidup berbilang kaum, ada yang mempunyai agama yang berlainan dan prinsip yang berlainan.
“Jadi kita kena faham, orang seni berkarya mengikut hati bukan guna otak. Orang faham kita guna otak sebaliknya hati yang berbicara saat menulis lirik,” katanya ketika dihubungi.
Altimet yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya turut menasihati agar artis yang baru menceburi industri muzik tidak mudah putus asa.
“Jangan terkejut dengan reaksi orang ramai kalau cara ekspresi diri dalam seni itu tidak difahami, jadi jangan putus asa dan kecewa. Yang penting seni itu perlu tulus,” ujarnya.
Sebelum ini, Altimet terkenal dengan lagu hit seperti Bunga, Amboi, Sang Saka Biru dan banyak lagi.
Untuk info, Altimet telah mengesahkan bahawa dirinya secara rasmi telah bersara sebagai penyanyi selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada 27 November 2018. — KL Viral
Baca juga: