Menghormati dan menegakkan nilai kemanusiaan adalah asas penting dalam membina masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju dan berjaya pada masa hadapan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sikap golongan belia dan anak muda, masih terperangkap dalam zon selesa selain enggan berubah, serta terpengaruh dengan retorik politik tidak membina yang dimainkan oleh pihak tertentu mungkin menjadi halangan dalam mencapai matlamat tersebut.
Teruskan MembacaJusteru itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru kerjasama daripada anak muda terutama yang berada di luar negara untuk bersama membangun Malaysia.
“Nasihat saya adalah untuk terus membangun dan berjaya, perlunya kebersamaan dari semua pihak termasuk anak jati Malaysia yang berada di luar negara agar negara tidak ketinggalan di persada dunia,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Isnin.
Perkara itu dibangkitkan Anwar ketika berucap di Brussels, Belgium sempena lawatan kerja dua hari ke negara tersebut serta bertemu pemimpin Kesatuan Eropah (EU).
Setibanya di negara itu, Anwar terus mengadakan mesyuarat tertutup untuk mengemaskini program yang diatur sebelum menyantuni diaspora dalam satu majlis santai dan harmoni.
Terdahulu, Anwar tiba di Brussels pada Ahad manakala pesawat yang membawanya mendarat di Lapangan Terbang Brussels pada jam 2 petang (9 malam waktu Malaysia), dari London selepas beliau menamatkan lawatan kerja ke United Kingdom (UK).
Ketibaan Anwar disambut oleh Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak, serta Timbalan Ketua Protokol Belgium, Alain Schmitz.
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.