Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan Israel harus bertanggungjawab sepenuhnya atas kemusnahan sepanjang 15 bulan penjajahan di Gaza dan membayar pampasan bagi kerosakan yang berlaku.
Katanya kos kemusnahan di Gaza yang mencecah AS$100 bilion tidak boleh ditanggung pihak lain, sebaliknya perlu dibayar sepenuhnya Israel.
Teruskan Membaca“Israel dan kerajaan (Benjamin) Netanyahu bertanggungjawab atas bil yang besar ini. Israel mesti membayarnya sendiri.
“Setiap kerosakan yang tidak diganti akan membuat pelaku menjadi lebih ganas.
“Selepas menyebabkan begitu banyak kemusnahan, penderitaan, dan kekejaman, Israel tidak boleh dibiarkan meneruskan tindakannya seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya dalam syarahan umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau berkata, dunia telah menyaksikan kemerosotan besar nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa selama 471 hari selepas Israel menduduki Gaza.
Erdogan turut berkata walaupun perjanjian gencatan senjata telah dicapai pada 19 Januari, Israel masih berterusan bertindak secara tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang dalam usahanya untuk menuntut Palestin.
Tegasnya cadangan Netanyahu untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka mesti ditentang habis-habisan.