Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap penyalahgunaan lesen bazar Ramadan terutama melibatkan pemindahan hak milik kepada pihak lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Tegas Anwar kerajaan boleh menarik lesen peniaga yang didapati terlibat dalam amalan tersebut.
Teruskan Membaca“Bayangkan orang nak berniaga bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi untuk persiapan keluarga tapi isu tatakelola masih ada.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL kerana kadar bayaran lesen dikurangkan, tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen dia kerja, kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Pada masa sama, Anwar berkata
menyokong tindakan tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dalam penguatkuasaan terhadap kedai haram serta kehadiran pendatang asing di kawasan perniagaan.
“Jadi apabila kita ambil tindakan, nampak seolah-olah satu kegiatan yang sangat besar, inilah peringatan daripada kita, kalau kita biarkan keadaan itu jadi bobrok sedemikian, puluhan tahun diizinkan, jadi akhirnya tugas kita besar untuk tangani isu berkenaan.
“Sebab itu saya ingin menggesa dan menyokong langkah diambil supaya lebih tegas, ikut peraturan, namun bukan bertindak ganas dan zalim, tetapi ikut peraturan,” katanya.