Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN: Jumlah pingat untuk Sukan SEA 2025 bukan lagi mengikut warna pingat tetapi akan mengikut kepada jumlah keseluruhan pingat.
Ketetapan ini menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengambil kira saranan pakar di Universiti Sains Sukan Nippon Jepun.
Persetujuan ini dicapai hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dengan universiti terlibat.
Menurut Hannah, pendekatan ini juga merupakan amalan yang telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong.
“Penetapan sasaran pingat akan ditentukan selepas ini secara bersama di antara KBS (Kementerian Belia dan Sukan) melalui MSN, Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memandangkan pendaftaran akhir atlet bagi menyertai temasya tersebut masih terbuka sehingga bulan September 2025,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Bagaimanapun katanya, diharapkan penetapan sasaran pingat emas akan memberikan semangat kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa nanti.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden tentang sasaran Malaysia bagi temasya Sukan SEA 2025 serta tahap kesiapsiagaan KBS susulan keputusan tuan rumah Thailand yang telah melakukan rombakan membabitkan acara yang akan dipertandingkan di luar jangkaan dengan menambah 15 acara dan menggugurkan 10 acara lain.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, KBS melalui MSN sentiasa menjalinkan kerjasama bersama PSK serta pemegang taruh utama yang lain seperti MOM dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam melaksanakan Program Podium bagi menyediakan atlet ke arah temasya sukan utama termasuk Sukan SEA 2025 di Thailand.
“Antara sukan-sukan dijangka akan menyumbang bilangan pingat yang banyak kepada kontinjen negara adalah akuatik-terjun, berbasikal-trek, hoki, memanah, menembak, pelayaran, skuasy dan tenpin boling.
“Sehingga kini, seramai 350 atlet di bawah Program Podium daripada 19 jenis sukan dan seramai 261 atlet Pelapis Kebangsaan daripada 15 jenis sukan sedang giat menjalani program latihan di bawah bimbingan jurulatih-jurulatih berpengalaman,” jelasnya.