Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil beri sebab mengapa ada perbezaan jumlah kompaun yang dikenakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Maestra Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS) dan individu seperti Harith Iskander serta Cecelia Yap.
Menurut Fahmi, MBNS, yang merupakan pemegang lesen bagi stesen radio Era FM, dikenakan kompaun RM250,000 kerana kesalahan mereka berlaku selepas pindaan Akta 588 berkuat kuasa pada 11 Februari lalu. Pindaan tersebut meningkatkan denda maksimum kepada RM500,000 jika kes dibawa ke mahkamah.
Teruskan Membaca“Kompaun RM250,000 terhadap MBNS diberi izin oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berdasarkan pindaan akta yang telah berkuat kuasa. MBNS bukan individu, tetapi sebuah anak syarikat milik Astro yang memperoleh keuntungan substantif,” katanya dalam satu hantaran di laman X pada Selasa.
Sementara itu, bagi kes pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap, masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana kesalahan mereka berlaku sebelum pindaan Akta 588. Ketika itu, denda maksimum jika disabitkan di mahkamah hanyalah RM50,000.
Fahmi menjawab persoalan yang dibangkitkan pengguna laman X mengenai perbezaan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap Harith dan Cecelia berbanding MBNS.
Sebelum ini, MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya tidak menggantung lesen MBNS, namun syarikat itu dikenakan kompaun RM250,000 berhubung kontroversi membabitkan penyampai Era FM.
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut memaklumkan bahawa tiada tindakan lanjut akan dikenakan terhadap empat penyampai Era FM yang terlibat, iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin, John Louis Jeffri, dan Radin Amir Affendy. Menurutnya, di bawah bidang kuasa kementeriannya, perkara itu kini dianggap sudah selesai.