
PETALING JAYA – Lebih 16 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka bakal menikmati akses kepada rawatan di hospital swasta.
Langkah ini menerusi cadangan baharu kerajaan untuk membenarkan penggunaan sebahagian kecil caruman Akaun 2 bagi tujuan bayaran premium insurans kesihatan.
Teruskan MembacaMenteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam satu kenyataan ringkas di media sosial memaklumkan bahawa langkah ini bersifat sukarela dan bertujuan untuk meringankan beban rakyat terhadap kos rawatan kesihatan yang kian meningkat.
“16 juta ahli KWSP berpeluang menikmati rawatan hospital swasta menggunakan caruman mereka,” ujarnya.
Hanya Guna 1% Akaun 2, Tiada Beban Tambahan
Menerusi pelan ini, hanya sekitar satu peratus daripada jumlah caruman Akaun 2 akan digunakan, tanpa memerlukan sebarang bayaran tambahan daripada poket pencarum.
Ia juga berbeza daripada skim sedia ada seperti i-Lindung, kerana perlindungan kesihatan yang akan ditawarkan dijangka lebih menyeluruh dan komprehensif.
Langkah ini turut mengambil inspirasi daripada sistem perlindungan sosial seperti yang dilaksanakan di Singapura.
Dan menjadi sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan kesihatan out-of-pocket rakyat, yang kini mencecah sekitar 32 peratus daripada jumlah keseluruhan kos rawatan.
Dalam masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melancarkan inisiatif Rakan KKM pada suku ketiga tahun ini.
Inisiatif ini melibatkan kerjasama strategik antara hospital awam dan swasta.
Ia akan memberi tumpuan kepada pengoptimuman penggunaan fasiliti sedia ada, termasuk dewan bedah dan katil rawatan.
Langkah-langkah ini mencerminkan pendekatan holistik kerajaan dalam memperluas akses rakyat kepada penjagaan kesihatan berkualiti, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI