BIDOR, 16 Jun – Membesarkan tiga anak istimewa tanpa kehadiran suami bukan sesuatu yang mudah. Namun, itulah perjalanan hidup yang dilalui Suzana Ilias, 53, selepas kehilangan suami tercinta pada penghujung tahun lalu.
Sebagai ibu tunggal kepada tiga anak yang menghidap autisme – Muhammad Khir Khairul Nizam, 29; Nur Fatimah, 28; dan Nurul Asyikin, 25 – Suzana menggalas sepenuh tanggungjawab dalam mengurus kehidupan harian mereka yang memerlukan pemantauan rapi kerana masing-masing didiagnosis autisme tahap dua.
Teruskan MembacaWalaupun diuji dengan pelbagai cabaran, Suzana tetap bersyukur apabila anak sulungnya berjaya khatam al-Quran – satu pencapaian luar biasa memandangkan Muhammad Khir sering bergelut untuk memberi tumpuan dalam pembelajaran.
“Inilah keajaibannya. Walaupun tidak boleh fokus lama dan sukar memberi respon spontan, Khir tetap mampu menguasai al-Quran dengan baik. Saya percaya ini hasil usaha arwah ayahnya yang membiasakan dia dengan al-Quran sejak kecil,” katanya kepada Bernama.
Kini, Muhammad Khir menjadi teman setia setiap kali mereka mengaji bersama. Malah, dia juga kerap menegur bacaan ibunya jika terdapat kesilapan.
“Kalau kita betul-betul mahu anak autistik pandai mengaji, kita kena usaha dan banyakkan doa. Insya-Allah, Allah akan bantu,” tambahnya, sambil menegaskan bahawa keadaan anak-anak bukan penghalang untuk mereka menyerlahkan potensi masing-masing.
Suzana berkata, selain boleh mengaji, Khir juga mampu menerima arahan, membaca, mengira, dan gemar membantunya di dapur.
“Fatimah pula sangat ringan tulang dan suka melipat kain – walaupun dengan cara dia sendiri. Manakala si bongsu, Asyikin, seorang yang ceria, aktif, dan suka menyanyi. Dia penghibur utama dalam keluarga kami,” katanya.
Mengimbau kehidupannya selepas kehilangan suami, Suzana mengakui perubahan berlaku sekelip mata dan hidupnya jadi agak kucar-kacir.
“Dulu, suami uruskan segalanya – bil, urusan bank, semuanya dia yang jaga. Bila dia pergi, saya benar-benar hilang arah,” luahnya. Kini, beliau tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anak-anak secara sepenuh masa.
Keluarga itu kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pencen PERKESO arwah suami untuk menampung perbelanjaan harian dan keperluan penjagaan anak-anak.
“Pendapatan memang tak cukup, tapi saya bersyukur sebab anak-anak tak memilih makan. Apa yang saya masak, itulah yang mereka makan,” katanya lagi.
Suzana turut berkongsi bahawa ketiga-tiga anaknya pernah menjalani pendidikan di Pusat Dalam Komuniti (PDK), yang banyak membantu dalam aspek sosial dan kemahiran kendiri mereka.
“Saya terus berdoa agar Allah hadirkan keajaiban untuk anak-anak saya. Selagi ada hayat, saya akan terus kuat dan berjuang demi mereka,” katanya menutup perbualan dengan penuh harapan.” — TVS
















