PETALING JAYA: Sudah hampir seminggu penyanyi dan pelakon popular Amira Othman menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta akibat masalah keracunan makanan serta tekanan darah rendah.
Namun apa yang mencuri perhatian netizen bukan sekadar perkembangan kesihatannya, tetapi kehadiran tetamu istimewa yang datang melawat iaitu ibu kepada pelakon terkenal Fattah Amin, yang dikenali Azizah Abdul Ghani.
Menerusi satu hantaran Instagram daripada jenama tudung yang dipercayai milik Amira, kelihatan dua keping foto mesra Puan Azizah dan Amira di dalam ‘suite’ rawatan telah dikongsikan.
“Pengasas Ibu Azizah melawat pengasas Emira. Sama-sama kita doakan Amira cepat sihat.
“ Semoga setiap urusan dipermudahkan dan dilimpahi kesembuhan yang penuh rahmat.” katanya.
Fattah sendiri dilihat turut ‘meninggalkan jejak’ di ruangan komen dengan meletakkan dua emoji berwajah sedih dan hati berwarna biru, sekaligus mencetuskan spekulasi dan reaksi comel daripada netizen.
Antara komen yang mencuit hati termasuklah:
“Dia tak hantar bunga hari ni… dia terus hantar mak dia tengok bakal menantu!”
“Amboi bakal mak mentua sayang betul dekat bakal menantu ya.”
“Tenang hati tengok gambar ni… dua insan istimewa Fattah Amin dalam satu frame.”
“Terima kasih Abang Long bawa ibu. Semoga Kak Long cepat sembuh!” ujar netizen.
Netizen rata-rata mendoakan kesembuhan buat Amira dan dalam masa sama, mengharapkan hubungan mesra antara Amira dan keluarga Fattah yang bukan sekadar ‘hubungan kerja’.