PIHAK pengurusan Black Canyon Malaysia dan Johnny’s Restaurants tampil menjelaskan status halal restoran mereka susulan tular status halal lima restoran terkenal baru-baru ini.
Menurut kenyataan bersama itu, mereka mengakui belum mendapat pengesahan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Teruskan MembacaBagaimanapun, pihak pengurusan menegaskan bahawa semua bahan makanan yang digunakan, termasuk ayam, telur, dan daging, diperoleh daripada pembekal yang memiliki sijil halal.
“Salinan sijil-sijil ini dapat dirujuk di semua restoran kami, jika perlu.
“Kami juga menekankan bahawa tiada penggunaan alkohol atau wain dalam penyediaan makanan dan minuman yang dihidangkan.
“Kedua-dua syarikat memahami kepentingan pensijilan Halal dan kami sedang berusaha untuk mendapat sijil Halal daripada JAKIM untuk dapur berpusat dan pensijilan individu untuk semua cawangan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Kedua-dua pihak juga berharap penjelasan yang dikemukakan akan menangani rasa bimbang semua pelanggan.
Selain Johnny’s dan Black Canyon, restoran makanan, Dolly Dim Sum juga memaklumkan dapur berpusat (central kitchen) yang membekalkan bahan-bahan dan makanan separa siap ke semua cawangannya telah menerima sijil halal daripada JAKIM.
Bagaimanapun, restoran tersebut menerusi kenyataan menjelaskan masih dalam proses mendapatkan sijil halal daripada JAKIM untuk setiap cawangannya.
“Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman kami pada 1 Ogos 2024 kami juga sedang dalam proses mendapatkan sijil halal untuk setiap cawangan kami. Memperoleh sijil halal Dapur Berpusat adalah sebahagian dari langkah penting dalam keseluruhan proses pensijilan ini,” katanya.
Sehubungan itu, restoran tersebut berharap penjelasan tersebut dapat memberi pencerahan kepada pelanggannya.
“Kami berharap dapat menjelaskan sebarang kebimbangan dan kami berterima kasih atas kepercayaan serta sokongan anda,” tambahnya.
Sebelum ini, JAKIM dalam satu kenyataan memaklumkan semakan status halal mendapati lima restoran bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Lima premis itu adalah premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.
Baca juga: