KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi mencatat kejayaan di persada sains global apabila tiga saintis muda tempatan terpilih untuk menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang akan berlangsung di Jerman dari 29 Jun hingga 4 Julai ini.
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini, mesyuarat tahunan yang pada tahun ini memfokuskan kepada bidang kimia itu bakal menghimpunkan sekitar 35 penerima Hadiah Nobel bersama lebih 600 saintis muda dari 84 buah negara.
Teruskan MembacaTiga wakil Malaysia yang terpilih ialah:
- Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30, pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sains Gunaan (Kimia Gunaan) dari Universiti Teknologi Petronas (UTP);
- Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34, pensyarah kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM); dan
- Dr Mak Kit Kay, 33, pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).
MOSTI menjelaskan bahawa Mesyuarat Nobel Laureate Lindau, yang diasaskan pada tahun 1951, bertujuan memupuk dialog merentas generasi, bidang sains dan latar budaya. Acara ini memberi tumpuan kepada satu cabang sains secara bergilir-gilir setiap tahun.
Selain menjadi medan pertukaran ilmu, mesyuarat tersebut juga berfungsi sebagai platform istimewa bagi saintis muda untuk berinteraksi secara langsung dengan penerima Hadiah Nobel melalui pelbagai sesi termasuk syarahan, perbincangan panel dan perbualan santai.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, menyifatkan penyertaan ini sebagai bukti kemampuan bakat tempatan bersaing di peringkat antarabangsa serta sejajar dengan komitmen MOSTI dalam melahirkan generasi saintis masa depan menerusi pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kami yakin pendedahan dan perbincangan bersama penerima Hadiah Nobel akan membuka ruang pemikiran saintis muda negara dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menceburi bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim, berkata penyertaan tersebut turut membuka peluang kepada saintis muda negara untuk memperkenalkan hasil penyelidikan serta kepakaran mereka, di samping menjalin kerjasama dengan institusi penyelidikan bertaraf dunia.
Program selama seminggu itu merangkumi syarahan oleh penerima Hadiah Nobel, sesi interaktif Agora dan perbincangan panel yang membincangkan pelbagai isu global.
Selain memperluaskan ilmu, mesyuarat ini turut menjadi platform penting dalam membina jaringan penyelidikan dan hubungan kolaboratif bersama rakan serta mentor dari seluruh dunia.
Sejak 2004, ASM sebagai badan pencalon rasmi telah mencalonkan saintis muda berpotensi setiap tahun untuk dinilai oleh Panel Semakan Saintifik Mesyuarat Nobel Laureate Lindau. Sehingga kini, seramai 89 saintis Malaysia telah dipilih menyertai program berprestij ini.
– BERNAMA