Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai tuduhan serangan seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak mahkamah.
Memetik laporan Sinar Harian, Naim menyifatkan tuduhan itu sebagai berat dan menyatakan hasrat untuk membersihkan nama baiknya selain mengharapkan doa daripada orang ramai.
Teruskan Membaca“Saya serahkan kepada sistem keadilan dan bertekad untuk membersihkan nama saya,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau kini berada dalam keadaan sihat dan tenang, serta mahu memberi tumpuan kepada kesejahteraan diri.
Berhubung aktiviti seni, Naim memaklumkan segala urusan masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusannya.
Terdahulu, Naim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang remaja di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 19 Mei lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.