
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM89.8 bilion jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2025 menunjukkan peningkatan 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, kejayaan mencatat RM60.4 bilion pelaburan asing membuktikan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Teruskan MembacaSingapura muncul sebagai pelabur asing terbesar dengan nilai pelaburan sebanyak RM28.3 bilion, diikuti Amerika Syarikat (RM9.9 bilion), China (RM7.9 bilion), British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Taiwan (RM1.7 bilion).
Sektor perkhidmatan menjadi pemacu utama pelaburan asing, mencatat pertumbuhan luar biasa dengan nilai RM34.5 bilion, lonjakan lebih 300 peratus berbanding tahun lalu terutamanya dalam subsektor pusat data dan teknologi awan, seiring matlamat negara di bawah pelan MyDIGITAL.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kejayaan ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada ekonomi, tetapi turut memperkukuh tenaga kerja tempatan.
“Apa yang menggembirakan, bukan sahaja kita dapat menjana lebih 33,000 peluang pekerjaan baharu, tetapi kita juga lihat peningkatan dalam pekerjaan berkemahiran tinggi. Indeks pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS) meningkat kepada 46.3 peratus, berbanding 44.2 peratus tahun lalu,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan menarik pelabur asing dalam suasana ekonomi global yang mencabar membuktikan dasar Malaysia kekal diyakini.
“Meskipun berdepan cabaran geopolitik dan dasar proteksionis negara-negara kuasa besar, pelabur tetap memilih Malaysia kerana kita mempunyai dasar pelaburan yang jelas, persekitaran perniagaan yang mesra, serta kelebihan sebagai hab serantau ASEAN,” ujar beliau lagi.
MIDA dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa pihaknya sedang menguruskan potensi pelaburan bernilai RM48.5 bilion, manakala RM59.3 bilion lagi dalam proses rundingan aktif, menandakan prospek pelaburan yang kukuh bagi negara sepanjang tahun ini.
Malaysia juga diyakini akan terus menjadi destinasi pelaburan strategik dengan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dan meningkatkan daya tarikan negara kepada pelabur global.