Susulan kehidupannya sebagai suami kepada dua wanita pada usia muda, pempengaruh media sosial Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 25, mendedahkan bahawa beliau menerima banyak mesej peribadi (DM) daripada netizen yang meminta pandangan serta nasihat berkaitan kehidupan berpoligami.
Menurut Aslam, yang juga suami kepada pempengaruh Umisya Mazlan dan Marissa Dania Hakim — anak kepada selebriti Abby Abadi — beliau percaya sebahagian besar mesej yang diterimanya hanyalah gurauan atau usikan daripada netizen.
Teruskan Membaca“Bukan Mudah, Saya Masih Cuba Lakukan Yang Terbaik”
Dalam satu temu bual bersama Hib Glam, Aslam mengakui bahawa kehidupan berpoligami bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi di usia yang masih muda.
“Apa pun tidak mudah, susah dalam enam bulan pertama sebab kita nak biasakan diri. Bahkan sampai sekarang pun saya cuba buat yang terbaik. Mana tak boleh, saya tetap usaha dan masih banyak yang perlu saya perbetulkan,” katanya.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Aslam memilih untuk tidak berkongsi secara terbuka tentang kesukaran yang dialaminya demi menjaga hati pelbagai pihak yang terlibat.
Kurang Selesa Jadi Perhatian, Tapi Syukur Dengan Rezeki
Tambah Aslam, beliau berasa sedikit kurang selesa apabila kehidupannya sering menjadi perhatian warganet. Namun begitu, beliau tetap bersyukur kerana percaya Allah telah membukakan jalan untuknya meneroka pengalaman baharu, termasuk dilantik sebagai wajah kempen jenama tertentu.
Perkahwinan Kedua di Thailand
Untuk makluman, Aslam telah berkahwin dengan isteri keduanya, Marissa Dania, di Songkla, Thailand pada Disember 2023. Ketika itu, isteri pertamanya, Umisya, sedang menunaikan umrah bersama tiga orang anaknya.