PETALING JAYA: PKR menyambut baik kejayaan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini, yang disifatkan sebagai bukti kekuatan semangat kekeluargaan dalam ASEAN. Lebih membanggakan, Malaysia memainkan peranan penting sebagai pendamai dalam usaha itu.
Menurut Pengarah Biro Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik, kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya membawa kedua-dua negara duduk semeja dan bersetuju untuk hentikan pertempuran serta-merta.
Teruskan Membaca“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berjaya sediakan platform selamat untuk kedua-dua pihak berbincang secara terbuka dan positif. Ini sekaligus meredakan ketegangan yang boleh jejaskan kestabilan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Maszlee turut menghargai komitmen Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, yang sanggup berunding demi keamanan.
Beliau menyifatkan kejayaan ini bukan sahaja sebagai pencapaian diplomatik, tapi juga bukti ASEAN masih berpegang pada prinsip asal, iaitu hormat-menghormati, penyelesaian secara aman dan perpaduan serantau.
“Dalam dunia yang penuh cabaran sekarang, ASEAN perlu terus buktikan bahawa walaupun kita datang dari budaya dan sistem berbeza, kita masih boleh bekerjasama dan cari jalan tengah demi kebaikan bersama,” jelasnya.
Tambah beliau, keamanan bukan sekadar soal keselamatan, tapi jadi asas penting untuk ekonomi, perdagangan dan pembangunan serantau.
Kejayaan Malaysia sebagai pendamai bukan saja mengukuhkan peranannya dalam ASEAN, malah kembalikan keyakinan bahawa konflik boleh diselesaikan secara dalaman, tanpa perlu campur tangan kuasa luar.
















