KUCHING: Taktik licik satu sindiket yang guna kereta sebagai ‘stor bergerak’ untuk edar dadah akhirnya tumpas selepas polis berjaya mematahkan kegiatan mereka dalam satu operasi khas di Kota Sentosa, Sarawak minggu lalu.
Operasi pada 19 Julai jam 8.50 malam itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Sarawak, dan berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 27 tahun yang berada dalam sebuah Perodua Alza.
Teruskan MembacaMenurut Pengarah JSJN Bukit Aman, CP Datuk Hussein Omar Khan, sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun dan cuba elak daripada dikesan dengan menggunakan kaedah ‘drop-off’, mereka tinggalkan kereta berisi dadah dalam keadaan tidak berkunci di lokasi tertentu, dan pembeli hanya perlu ambil sendiri tanpa sebarang pertemuan.
“Hasil pemeriksaan, polis jumpa satu beg hitam dan tiga kotak berwarna coklat. Dalamnya ada 80 bungkusan kristal bertulisan ‘Guan Yin Wang’ yang dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang media.
Jumlah keseluruhan rampasan mencecah 83 kilogram syabu bernilai RM3.07 juta, cukup untuk menjejaskan lebih 415,000 nyawa kalau terlepas ke pasaran.
Polis turut merampas wang tunai RM1,100 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM3.072 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan pihak polis kini sedang giat memburu ahli sindiket lain yang masih bebas.