Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 di Jakarta, Indonesia selama tiga hari bermula esok.
Beliau juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Berkaitan antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu, Australia, China, Jepun, India, Republik Korea, Amerika Syarikat dan Kanada serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Teruskan MembacaDi luar Sidang Kemuncak ASEAN, Anwar akan turut menghadiri Upacara Perasmian ASEAN-Indo Pacific Forum (AIPF).
Wisma Putra menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, AIPF akan memberi ruang bagi para pemegang taruh untuk berbincang secara inklusif bagi meneroka kerjasama yang akan menggalakkan perkembangan ekonomi yang berdaya tahan, mampan, transformatif dan kreatif di rantau ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan membolehkan Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha pembinaan komuniti ASEAN, Komuniti ASEAN Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar serta isu serantau dan antarabangsa.
Penyertaan Malaysia juga akan menunjukkan komitmen berterusan negara terhadap kerjasama serantau dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara.