PETALING JAYA: Esok, semua mata akan tertumpu ke Dewan Rakyat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), pelan besar yang bakal menentukan arah pembangunan negara untuk lima tahun akan datang, dari 2026 hingga 2030.
Hari ini, Anwar menerima dokumen rasmi RMK-13 yang menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan ini. Disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), RMK-13 dirangka sebagai pelan pembangunan menyeluruh yang memberi fokus kepada kebajikan rakyat secara adil dan saksama, tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan.
Teruskan MembacaApa yang menarik, RMK-13 adalah rancangan lima tahun pertama yang digubal sepenuhnya di bawah Kerajaan MADANI, bukan sekadar sambungan dasar lama, tetapi disertakan juga pelbagai pendekatan baharu yang lebih segar, progresif dan berdaya tahan.
“Insya-Allah, saya akan bentang RMK-13 di Dewan Rakyat esok. Kerajaan MADANI alu-alukan perbahasan serta cadangan yang membina daripada semua Ahli Parlimen,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.
Pelan ini juga disediakan melalui sesi libat urus secara meluas yang melibatkan kerajaan negeri, pihak swasta, pakar industri, akademik dan wakil masyarakat. Tujuannya jelas, pastikan suara rakyat diangkat dan diterjemah dalam hala tuju masa depan negara.
Kementerian Kewangan menyifatkan RMK-13 sebagai langkah penting menuju pembangunan mampan dan menyeluruh yang beri manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang.
Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang, pula menyatakan bahawa RMK-13 penting dalam memperkukuh nilai perpaduan dan jati diri rakyat Malaysia, seiring usaha membina masyarakat harmoni dalam kepelbagaian.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, turut berkongsi bahawa antara fokus utama dalam RMK-13 adalah pembaikan sistem pengairan negara, aspek penting untuk jamin ketercukupan makanan dalam jangka panjang.
“Projek besar macam pengairan ni tak boleh siap setahun. Ia perlukan perancangan jangka panjang dan komitmen kerajaan,” jelas beliau.
Ringkasnya, RMK-13 bukan sekadar pelan atas kertas, ia bakal jadi landasan utama untuk transformasi negara dalam pelbagai sektor. Nantikan pembentangannya esok, kerana hala tuju masa depan Malaysia bakal ditentukan.