Penyanyi dan komposer, Atilia Haron, berkongsi pesanan berharga yang pernah diterimanya daripada penerbit muzik tersohor, Roslan Aziz, mengenai kualiti suara serta keyakinan seorang penyanyi.
Menerusi hantaran di media sosial, Atilia mendedahkan Roslan pernah menegurnya dengan kata-kata yang kini menjadi prinsip pegangan buat dirinya.
Teruskan Membaca“Roslan Aziz pernah cakap dekat saya; kalau awak nyanyi bagus, dalam longkang pun suara awak tetap sedap. Jadi, jangan terlalu bergantung pada bunyi luar… sama ada wedges, in-ear atau house. Awak kena bergantung pada diri sendiri.” tulisnya.
Menurut Atilia, pesanan itu memberi kesedaran bahawa seorang penyanyi sejati tidak boleh terlalu bergantung kepada sistem bunyi semata-mata.
Katanya, kualiti sebenar datang daripada teknik dan kawalan vokal, bukan kerana bantuan teknikal yang canggih.
Dalam perkongsian sama, Atilia turut meluahkan rasa kurang senang apabila ada penyanyi yang sering menyalahkan sistem bunyi setiap kali persembahan mereka tidak kedengaran sempurna.
“Saya dah penat dengar penyanyi cakap ‘sound’ teruk lah… Siti nyanyi ok je,”
tulisnya lagi sambil merujuk kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai contoh penyanyi yang konsisten dalam apa jua keadaan.
Selain itu, Atilia turut menzahirkan simpati kepada jurutera bunyi yang menurutnya kerap dipersalahkan apabila berlaku masalah teknikal sewaktu konsert.
“Kesian ‘sound guy’ selalu kena. Padahal, korang yang tajpape,” tambahnya ringkas.
Bagi Atilia, apa yang dipelajarinya daripada Roslan adalah pengajaran besar bahawa suara tulen seorang penyanyi adalah senjata utama, dan keyakinan di atas pentas lebih penting daripada apa jua teknologi yang digunakan.







