KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 peserta dijangka membanjiri ibu negara esok, 9 Ogos, bagi menyertai perhimpunan “Malaysia Bangkit Untuk Gaza” yang dianjurkan oleh Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) bersama Persatuan Ulama Malaysia.
Teruskan MembacaKetua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, peserta akan mula berkumpul di tiga lokasi, Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, dan Kompleks Sogo sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Beliau memaklumkan, kawalan keselamatan dan lalu lintas akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran acara, namun orang ramai diingatkan untuk bersedia menghadapi kesesakan di pusat bandar.
“Penganjur dan peserta diminta mematuhi undang-undang. Jangan bawa senjata, mercun, bahan letupan, kanak-kanak, atau sepanduk yang menyentuh isu 3R (kaum, agama, institusi diraja). Elakkan ucapan berunsur fitnah atau provokasi,” katanya.
Tambahnya lagi, penggunaan dron juga tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.
PDRM menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan kekacauan atau provokasi melampau sepanjang perhimpunan berlangsung.















