KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat semalam kecoh dengan beberapa isu besar yang jadi perhatian ramai, antaranya skandal rasuah di Imigresen KLIA dan persoalan tentang cara kerajaan salurkan peruntukan banjir kepada negeri-negeri.
Teruskan MembacaAntara yang mencuri tumpuan, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, tanya terus kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution apa langkah sebenar kerajaan nak tangani sindiket ‘Fly dan U-turn’ di KLIA yang sebelum ni kecoh sampai mencalarkan imej negara di mata dunia?
Selain tu, Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi, nak tahu pula garis panduan dan kriteria sebenar JPJ bila luluskan plat nombor khas yang selalu jadi rebutan tu. Ada sistem ke, atau main pilih je?
Isu banjir pun tak kurang pentingnya. Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow, bangkitkan cadangan supaya kerajaan tukar cara beri peruntukan daripada sekali-sekala (one-off) kepada bajet tetap setiap tahun. Ini penting untuk kerja penyelenggaraan sungai dan aset air, supaya tak tunggu musim banjir baru kelam kabut.
Beliau juga cadangkan satu sistem khas ala-ala MARRIS (yang digunakan untuk jalan raya) tapi untuk sungai dan aset air supaya semua negeri boleh pantau dan rancang lebih baik.
Dalam isu lain, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju, pula tanya Menteri Komunikasi apa rancangan kerajaan untuk kembangkan sistem komunikasi radio & internet bergerak (PRIME) ke Sabah dan Sarawak. Katanya, sistem tu penting sangat untuk bantu agensi kerajaan bila berlaku bencana, terutama di kawasan pedalaman.
Lepas sesi soal jawab, Ahli Parlimen akan teruskan dengan perbahasan tentang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)yang baru je dibentangkan oleh PM Anwar Ibrahim minggu lepas.
Untuk makluman, sesi Parlimen kali ni akan berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos. Jadi, banyak lagi isu panas bakal dibangkitkan.