“Umat Islam tidak boleh terus bertelagah dalam isu remeh hingga mengabaikan perpaduan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau ketika menyampaikan ucapan di Masjid Putra mengingatkan tragedi genosid yang menimpa rakyat Palestin seharusnya menjadi iktibar untuk memperkukuh kekuatan ekonomi, menguasai teknologi, dan mempertahankan Al-Aqsa.
Teruskan Membaca“Saya ulangi teguran yang saya sampaikan ketika berucap di Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain. Perpecahan akibat perbalahan kecil hanya melemahkan kita, sedangkan cabaran global semakin meningkat,” katanya.
Turut hadir dalam majlis ilmu tersebut ialah Imam dan Khatib Masjidil Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri.
Pada masa sama Anwar berkata Malaysia akan mempercepat usaha pembangunan semula Gaza melalui inisiatif wakaf.
Beliau berkata usaha ini sejajar dengan saranan Imam Masjidil Aqsa.
Anwar juga mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti tempatan untuk menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmuqaddis demi memastikan kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin.