DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan kempen Jom Bayar Sewa Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menggalakkan penyewa membuat bayaran pendahuluan bagi mengelakkan tunggakan di samping memberi peluang kepada penyewa untuk menjelaskan tunggakan sewa.
Para penyewa Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang membuat bayaran sewa atau tunggakan akan menerima insentif berupa baucar sebanyak RM50 dan RM30 mengikut kategori penyewa berkenaan.
Teruskan MembacaBagi penyewa yang tidak mempunyai tunggakan, mereka perlu membuat bayaran sewa secara pendahuluan (advance) untuk setahun caj sewa untuk menerima baucar tunai sebanyak RM50 atau membuat bayaran sewa secara pendahuluan untuk tiga bulan untuk menerima baucar RM30.
Bagi penyewa yang mempunyai tunggakan, mereka perlu menjelaskan 50 peratus dari jumlah tunggakan dengan jumlah minimum RM1,000 untuk menerima baucar tunai RM50 atau menjelaskan tunggakan sewa minimum tiga bulan untuk mendapat baucar RM30.
Bagi terma dan syarat kempen ini, penyewa perlu menjelaskan pembayaran melalui semua saluran pembayaran DBKL dan bayaran perlulah dijelaskan dalam tempoh masa 1 Januari hingga 15 Mac 2024 oleh penyewa rumah itu sendiri.
Baucar yang berjaya diperoleh boleh dituntut di Tingkat 8, Unit Kewangan dan Akaun, Menara DBKL di Kuala Lumpur pada waktu bekerja.
Sekiranya tempoh kempen ini tamat, Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) DBKL akan mengenakan tindakan pemotongan bekalan air dan penamatan penyewaan terhadap mana-mana penyewa yang masih gagal melunaskan tunggakan sewa mereka. — KL Viral

Baca juga: