CYBERJAYA – Malaysia melangkah setapak lagi ke hadapan dalam dunia kecerdasan buatan (AI) apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan MCMC Intelligence Chair di Multimedia University (MMU), Cyberjaya hari ini.
Inisiatif baharu ini bukan sekadar projek akademik, tapi jadi pemangkin besar untuk menjadikan Malaysia pusat rujukan AI serantau.
Teruskan MembacaMenurut Anwar, penubuhan kerusi khas ini bakal membuka ruang lebih luas untuk penyelidikan lanjutan, melatih bakat muda tempatan dan melahirkan inovasi AI yang lebih menyeluruh serta beretika.
Katanya, Malaysia tidak boleh lagi sekadar jadi pengguna teknologi, sebaliknya mesti muncul sebagai peneraju inovasi serantau.
Dengan MMU dipilih sebagai lokasi utama, MCMC Intelligence Chair akan menumpukan kepada bidang penting seperti pengkomputeran awan, automasi, data raya dan AI gunaan.
Hasilnya, tenaga mahir baharu akan dilahirkan untuk memenuhi keperluan industri dan bersedia menempuh cabaran global.
Anwar juga menegaskan bahawa langkah ini seiring dengan agenda Malaysia MADANI dan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026–2030, yang menekankan pembangunan digital berasaskan etika, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.
Dengan pelancaran ini, Malaysia kini dilihat semakin bersedia mengangkat AI ke tahap lebih tinggi — bukan sekadar mengikut arus, tetapi meletakkan negara di landasan kukuh sebagai hub inovasi dan teknologi digital di rantau ASEAN.







