PETALING JAYA: Malaysia kekal main peranan penting jadi orang tengah dalam usaha damai antara Thailand dan Kemboja, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Teruskan MembacaPagi tadi, Anwar bertemu dalam sesi tiga hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.
Hasil perbincangan, ketiga-tiga pihak setuju teruskan dialog dan kekalkan gencatan senjata di kawasan sempadan yang dah bermula sejak 28 Julai lepas.
“Kesepakatan ini tunjukkan semua pihak serius nak jaga keamanan dan kestabilan serantau, yang makin penting dalam keadaan dunia sekarang,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.
Malaysia juga diberi mandat untuk terus terlibat dalam proses rundingan dan pemantauan, melalui Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Kedua-dua negara bersetuju patuhi gencatan senjata sepenuhnya tiada serangan, tiada tambah askar atau ubah posisi tentera, dan elak sebarang provokasi. Orang awam serta infrastruktur di kawasan sempadan juga akan diberi perlindungan penuh.
Perbincangan lebih setengah jam itu turut sentuh cadangan hantar pasukan ASEAN Observer Team (AOT) untuk bantu pantau keadaan, urus bantuan kemanusiaan, dan sediakan perkhidmatan perubatan.
“Malaysia akan terus sokong proses damai ini sebab kita percaya keamanan sejati hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan,” tambah Anwar.
















