KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat sebuah akaun TikTok dengan nama @berjuanguntukzara yang tular di media sosial baru-baru ini.
Teruskan MembacaAkaun berkenaan dikatakan memuat naik kenyataan yang tidak sahih dan berunsur jenayah, sekali gus boleh mengganggu siasatan kes Zara Qairina yang sedang dijalankan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, kes ini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan rangkaian untuk menyebarkan kandungan palsu.
“Penyebaran info yang tidak tepat bukan saja boleh buat orang ramai keliru, malah juga boleh menjejaskan siasatan. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan untuk lebih berhati-hati sebelum kongsi sebarang maklumat di media sosial. Sebarang cubaan sebar berita palsu atau mengganggu siasatan akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.