PUTRAJAYA: Dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negara, kerajaan memperuntukkan RM40 bilion khusus untuk sektor kesihatan sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dari 2026 hingga 2030.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan besar ini adalah langkah berani untuk memastikan rakyat terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, menyeluruh dan mampu milik.
Teruskan Membaca“Kerajaan tak boleh berkompromi bila melibatkan kesihatan awam. Kita sedang berdepan cabaran seperti inflasi kos perubatan, peningkatan penyakit tak berjangkit (NCD) dan juga populasi yang semakin menua,” jelas beliau ketika membentangkan RMK13 hari ini.
Antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah Skim Perubatan MADANI, satu skim baharu yang akan membuka lebih banyak akses kepada rawatan dan penjagaan kesihatan untuk semua lapisan rakyat.
Pada masa yang sama, kerajaan akan luaskan cukai pro-kesihatan yang sebelum ini hanya tertumpu kepada minuman bergula. Kini, ia akan turut dikenakan ke atas produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bukan semata-mata untuk hasil negara, tetapi juga sebagai langkah pencegahan penyakit.
Beberapa projek besar turut diumumkan bagi menaik taraf fasiliti kesihatan di seluruh negara. Antaranya:
- Hospital Tuanku Ja’afar 2 (Negeri Sembilan)
- Hospital Sultanah Aminah 2 (Johor)
- Pusat Kanser Wilayah Utara (Kedah)
- Pusat Jantung Sabah & Hospital Queen Elizabeth II (Sabah)
- Pusat Kanser Sarawak
Kerajaan juga sedar akan isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan. Jadi, satu kerangka pembangunan profesional kesihatan akan dilaksana, termasuk dari segi latihan, pelesenan, pengambilan, dan penempatan, supaya lebih ramai tenaga pakar kekal dalam sistem kesihatan awam.
Selain itu, sistem kesihatan negara juga akan dipacu ke arah pendigitalan penuh, termasuk pengurusan rekod kesihatan yang lebih cekap dan boleh diakses antara hospital kerajaan dan swasta. Teknologi kecerdasan buatan (AI) juga akan digunakan bagi menghasilkan analisis kesihatan yang lebih tepat dan berkesan.
Keseluruhannya, langkah-langkah di bawah RMK13 ini dijangka beri impak besar kepada sistem penjagaan kesihatan negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan utama.















