Terkini

MRA lancar Tabung Kecemasan Palestin

Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Kecemasan Palestin untuk membantu rakyat negara itu yang terkesan teruk akibat serangan rejim Israel ke atas Wilayah Gaza.

Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, bagi fasa awal ini pihaknya telah menghantar sumbangan segera sebanyak RM100,000 bagi tujuan menampung keperluan mendesak seperti bantuan perubatan, peralatan hospital, tempat perlindungan dan makanan.

“MRA berharap lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin dalam tempoh satu minggu lagi memandangkan mangsa yang tercedera semakin meningkat.

“Ketika ini, pertempuran antara pejuang Palestin dan tentera rejim Israel masih berterusan di Kota Gaza, Beit Hanoun, Beit Lahiya, Jabalia, Deir al-Balah, Khan Younis, Rafah dan kawasan sempadan dengan Israel dan Mesir,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Hamas pada Sabtu dilaporkan melancarkan serangan terbesar menerusi lebih 5,000 roket ke atas wilayah Israel bertujuan menamatkan penindasan rejim Zionis terhadap tanah dan rakyat Palestin.

Mohd Daud memberitahu, menurut sumber daripada Gaza, angka korban terkini rakyat Palestin dianggarkan seramai 700 orang dengan 2,300 orang lagi dilaporkan cedera hasil tindak balas serangan udara dan tembakan artileri rejim Israel.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Malaysian Relief Agency Berhad yang bernombor 5640 9820 8020 selain orang ramai boleh menghubungi talian 013-3371672 atau melayari akaun facebook MRA untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pelbagai

Scroll to Top