Pembelian panik peniaga kedai makan atau restoran menjadi punca utama kepada kekurangan bekalan barangan asas seperti telur, gula, minyak masak dan beras di 11 daerah di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, punca terbabit dikenalpasti berdasarkan laporan yang diterimanya dari pihak pasaraya seluruh negeri ini yang membekalkan barangan terbabit.
Teruskan MembacaKatanya, peniaga membuat pembelian panik berikutan kebimbangan mereka sekiranya kesemua barangan asas terbabit terputus bekalan.
“Sebaik sahaja stok mereka berkurangan, mereka membuat pembelian panik dan membeli secara banyak untuk disimpan di rumah mereka,” katanya dalam sidang akhbar ketika melakukan tinjauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Pasaraya TMG Batu 3, di sini.
Tambahnya, kekurangan bekalan juga disebabkan peniaga makanan membeli barangan yang sepatutnya dikhususkan untuk golongan B40 seperti minyak masak peket. Sementara itu Chon Siang berkata, beliau akan membawa isu kekurangan bekalan barangan terbabit ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri.