KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dijadikan titik perubahan dalam hala tuju pembangunan negara agar benar-benar berasaskan keperluan rakyat, bukan sekadar menambah pencakar langit atau projek mega.
Teruskan MembacaFelo Penyelidik Pascadoktoral di International Institute of Public Policy and Management (INPUMA), Universiti Malaya, Dr Noraisah Yusop berkata, pembangunan sebenar seharusnya berpaksikan kesejahteraan rakyat, selari dengan prinsip Ekonomi MADANI.
Menurut beliau, pembangunan tanpa perancangan rapi berisiko melahirkan “bandar hantu” yang tidak memberi manfaat kepada ekonomi. Sebaliknya, RMK13 wajar menumpukan kepada sektor berpotensi tinggi seperti ekonomi digital, industri hijau dan pembangunan modal insan.
Dr Noraisah turut mencadangkan agar projek perumahan mampu milik diwajibkan berada dalam jarak 400 meter daripada pengangkutan awam selain menyediakan ruang parkir mencukupi. Beliau juga menegaskan moratorium pembangunan di kawasan sesak perlu dilaksanakan sehingga kajian utiliti, trafik dan kapasiti sekolah selesai.
“Penduduk mesti dilibatkan dalam proses membuat keputusan. Pembangunan bandar bukan sekadar aspek fizikal, tetapi juga keseimbangan ekologi, kohesi sosial dan keadilan,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui ketinggian bangunan, sebaliknya melalui sejauh mana ia meningkatkan kualiti hidup rakyat.