PUTRAJAYA: Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan bahawa kerajaan MADANI takkan sesekali berkompromi dalam usaha membasmi kemiskinan.
Katanya, isu kemiskinan sekarang bukan lagi semata-mata pasal pendapatan rendah atau harga barang mahal, tapi lebih kepada masalah yang lebih besar dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan.
Teruskan Membaca“Bantuan sementara memang penting, tapi yang lebih utama ialah peluang untuk rakyat ubah nasib mereka sendiri,” jelas beliau di Parlimen.
Untuk capai sasaran itu, RMK13 akan fokus kepada strategi pemerkasaan ekonomi rakyat dan pembangunan komuniti. Salah satu langkah utama ialah pelancaran Program SejaTi MADANI, yang tawarkan dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak khas untuk bantu mereka jana pendapatan dan hidup berdikari.
Apa yang menarik, program ni digerakkan oleh rakyat sendiri, maknanya komuniti yang tentukan apa yang paling mereka perlukan untuk keluar dari kemiskinan.
“Ini bukan program kerajaan semata-mata. Ini usaha bersama rakyat, untuk rakyat,” kata Perdana Menteri lagi.
Selain itu, inisiatif lain seperti latihan kemahiran, pembangunan usahawan mikro, dan sokongan sosial juga akan terus diperluas supaya golongan B40 dan miskin bandar tak ketinggalan dalam kemajuan negara.
Anwar juga beri jaminan penuh bahawa kerajaan benar-benar serius dalam hal ini.
“Tiada kompromi. MADANI bukan slogan kosong, ini ikhtiar sebenar untuk angkat martabat rakyat, tak kira bangsa, agama atau kawasan,” tegasnya.
Keseluruhannya, RMK13 diletakkan sebagai pelan pembangunan jangka sederhana untuk bina Malaysia yang lebih adil, saksama dan mampan untuk semua.