KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semangat yang lahir daripada Konferensi Asia-Afrika 1955 di Bandung, Indonesia, masih relevan hari ini sebagai panduan untuk ASEAN menghadapi cabaran dunia.
Teruskan MembacaDalam satu hantaran di Facebook, Anwar mengimbau kembali peristiwa bersejarah tujuh dekad lalu itu, apabila negara-negara baharu merdeka bangkit menuntut hak menentukan masa depan mereka sendiri.
“Tujuh dekad lalu di Bandung, pemimpin Asia dan Afrika bangkit menegaskan bangsa yang baru merdeka mesti membina ‘destiny’ mereka sendiri. Semangat itu masih kekal hingga kini kerana kebebasan adalah asas penting bagi sesebuah negara bangsa,” katanya.
Menurut Anwar, dalam suasana ketidaktentuan geopolitik, perang dagang dan persaingan teknologi, ASEAN perlu kekal sebagai platform utama rantau ini untuk menjamin kestabilan serta kerjasama berasaskan undang-undang.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bertekad memelihara peranan ini termasuk melalui inisiatif besar seperti ASEAN-China Free Trade Area 3.0 (ACFTA 3.0) yang akan dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa konsep centrality ASEAN adalah kunci kepada kerjasama serantau yang terbuka dan inklusif, sekali gus mampu menangkis tekanan geopolitik yang bersifat hegemonik.
“Yang utama adalah mengangkat prinsip ‘sovereign interdependence’, iaitu keterhubungan berasaskan pilihan dan ketahanan. Inilah jalannya untuk memastikan Asia, dengan ASEAN sebagai nadinya, terus menuju keterbukaan, kesaksamaan dan kemakmuran bersama,” tambah Anwar.