PETALING JAYA: Sempena Hari Kemerdekaan ke-68, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus menjaga perpaduan dan menolak segala bentuk perpecahan kaum serta politik sempit.
Teruskan MembacaMenurut Mahfuz, kemerdekaan yang dikecapi hari ini bukanlah hadiah percuma, sebaliknya hasil pengorbanan para pejuang terdahulu.
“Kemerdekaan ini dibayar dengan keringat, air mata dan darah. Tugas kita sekarang adalah mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman luar, kebencian kaum dan agama, serta politik yang memecahbelahkan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan, rakyat perlu memperkukuh nilai kasih sayang, saling menghormati dan semangat Malaysia Madani agar negara terus aman dan sejahtera.
Dalam masa sama, Mahfuz turut mengingatkan kepentingan ilmu dan kemahiran baharu, termasuk penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), supaya rakyat tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dunia.
“Ilmu adalah kunci kemerdekaan sebenar,” tambahnya.
Mahfuz juga menekankan keperluan membanteras rasuah, menolak politik perkauman dan membina ekonomi yang lebih adil untuk golongan muda, petani, pekerja dan usahawan kecil.
Katanya, Amanah bersama kerajaan Madani akan terus komited memperjuangkan keadilan sosial, kebebasan bersuara dan masa depan yang lebih cerah buat rakyat Malaysia.